Kursus ini membincangkan konsep ilmu menurut perspektif Islam dengan menumpukan kepada sumber, kaedah, dan tujuan pengetahuan dalam tradisi intelektual Islam. Pelajar akan diperkenalkan kepada asas epistemologi Islam yang berteraskan wahyu, akal, dan pengalaman, serta hubungan antara ketiga-tiga elemen ini dalam pembentukan ilmu.
Perbincangan merangkumi peranan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber utama ilmu, serta sumbangan tokoh-tokoh sarjana Islam dalam membangunkan teori ilmu. Kursus ini juga meneliti perbezaan antara epistemologi Islam dan epistemologi Barat, termasuk isu-isu seperti kebenaran, keyakinan, keraguan, serta batasan akal manusia.
Selain itu, pelajar akan didedahkan kepada cabaran semasa dalam memahami dan mengaplikasikan epistemologi Islam dalam konteks moden, termasuk dalam bidang sains, teknologi, dan pemikiran kontemporari. Di akhir kursus, pelajar diharapkan dapat memahami kerangka epistemologi Islam secara menyeluruh serta mampu menilai pelbagai bentuk ilmu berdasarkan perspektif Islam.
Kursus ini bertujuan meningkatkan pengetahuan mengenai perkembangan Islam dalam kalangan masyarakat Melayu. Antara aspek yang dibincangkan ialah pengenalan
konsep tamadun, teori kedatangan dan penyebaran Islam ke Alam Melayu serta beberapa aspek berkaitan Islam dalam masyarakat Melayu seperti kesenian, perundangan
dan keintelektualan. Imperialisme Barat di Alam Melayu, Kebangkitan nasionalisme, gerakan islah dan tajdid, isu-isu, cabaran semasa dan strategi memperkasa masyarakat
Melayu juga menjadi tumpuan perbincangan.
Kursus ini membincangkan tentang pelbagai cabang asas ilmu dalam bidang syariah yang meliputi pengenalan kepada perundangan Islam, sumber-sumber perundangan, cara istinbat hukum dan kaedah yang digunakan dalam mengeluarkan hukum, kaedah Fiqhiyyah, Maqasid Syariyyah, undang-undang keluarga Islam, sistem kehakiman Islam, undang-undang jenayah Islam yang meliputi hukuman hudud, bunuh dan takzir, sistem muamalat Islam serta pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia. Pengajaran dan pembelajaran kursus ini akan dilaksanakan secara menonton video dan merujuk modul secara atas talian. Pelajar akan dinilai melalui ujian, esei, pembentangan dan peperiksaan. Diharapkan pelajar yang mengikuti kursus ini dapat memahami, menguasai dan seterusnya mempraktikkan ilmu yang telah dipelajari bagi menyelesaikan permasalahan dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.